2 Oct 2014

Utama » » Taktik guna wang palsu RM100 kantoi

Taktik guna wang palsu RM100 kantoi

alt/text gambar alt/text gambar alt/text gambar PENAJA

KUALA TERENGGANU - Taktik seorang lelaki berlagak selamba menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli tambah nilai Celcom bernilai RM10, di sebuah kedai serbaneka tidak menjadi apabila lakonannya itu berjaya dihidu pekerja di kedai berkenaan.

Susulan perbuatannya itu, Saiful Syukri Razak, 27 dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

Dia dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah telah menggunakan mata wang palsu sebanyak sekeping not bernilai RM100 di kedai serbaneka Binjai Rendah, Bukit Payung, Marang, pada 12 Ogos lalu, lebih kurang jam 6.19 petang.

Saiful Syukri mengaku salah mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Ogos lalu, kira-kira jam 6.19 petang, semasa Suziaida Mustapha, 20, sedang bekerja di kaunter bayaran wang, datang Saiful Syukri hendak membeli tambah nilai Celcom dengan harga RM10.

Saiful Syukri telah menyerahkan sekeping wang kertas RM100 bagi menjelaskan bayaran berkenaan dan semasa pekerja itu menerima wang berkenaan, dia menyedari wang kertas tersebut agak pelik dan mengesyaki ia wang palsu.

Melihatkan reaksi pekerja itu yang menyedari wang tersebut palsu, Saiful Syukri yang sebelum itu berlagak selamba mula gelisah lalu terus beredar tanpa mengambil baki wang yang sepatutnya diserahkan kepadanya berjumlah RM90.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Saiful Syukri turut menerima nasib sama apabila dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku salah menggunakan wang palsu bernilai RM100 di gerai hadapan bangunan TNB, Jalan Cerong Lanjut, di sini.

Dia mengaku melakukan kesalahan sama itu pada 4 Ogos lalu, kira-kira 9 malam.

Hakim Murtazadi Amran memerintahkan hukuman berjalan selepas Saiful Syukri selesai menjalani hukuman pertama yang dijatuhkan kepadanya sebelum itu. - sumber

 photo iklan atomy_zpsx6liadcn.gif
Kongsi Artikel Ini :
Comments
0 Comments

Post a Comment