24 Jun 2015

Utama » » Masih waraskah kita?

Masih waraskah kita?

alt/text gambar alt/text gambar alt/text gambar PENAJA

Dungun makin indah, ya sangat indah itulah yang mahu diceritakan. Indahnya Dungun masih menghijau dalam kepala dan bukannya viral ‘mak kau hijau’ telah merebak dalam minda ini, cuma hijau maksud saya ni ia masih putik atau mentah. Biasalah, namanya pembangunan… Dungun membangun dan saya harap minda dan pemikiran orang-orang kita pun turut membangun dan bukannya berada di takuk yang lama. 

Awak ingin tahu bagaimana nak merasakan bagaimana ia membangun? senang sahaja. Cuba pandang disekeliling dan lihat perubahan bentuk muka buminya. Kalau berubah itu makna kita berada di zon di mana kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada perubahan yang lebih baik atau pun sebaliknya. Kita akan bandingkan, dulu tak macam ni, kenapa sekarang macam ni? Hal itu berlaku kerana berbezaan yang mendatangkan beban. 

Hakikatnya, kita tidak dapat menolak kemajuan yang dikecapi tetapi kita boleh membentuk kemajuan dengan keadilan. Misalnya kehidupan dahulu, biasa-biasa sahaja, boleh pergi ke mana suka tanpa perlu memikirkan soal barang dan minyak. Tetapi sekarang? Nak berbelanja ada yang bercatu bagai. Bukan nak berkira tetapi bimbang tak cukup. Dahulu berlebih-lebih kerana semua benda murah, sekarang berkurang-kurang kerana nilainya kian kecil. 

Berfikir rancak pun, kalau kita tidak mulakan perubahan nescaya kita tak akan ke mana-mana. Berhati-hati dalam menilai diri orang lain kerana sekarang kemajuan mendatangi kita. Siapa disebalik kemajuan? Diri kita sendiri. Diri kita yang membiarkan tapak itu digodam orang-orang yang mementingkan diri sendiri. Kita sanggup pejamkan mata disaat orang lain merana. Kita sanggup menendang perut orang lain demi perut kita sendiri, bahkan kita sanggup melihat saudara mara kita dizalimi. Kita adalah yang paling zalim. 

Jadi hanya satu hal yang boleh membetuk keperihatinan antara kita, iaitu sikap tolak ansur. Kalau nilai itu tiada maka apalah maknanya kemajuan kalau masing-masing mendabik dada? Saya terbaca satu idealogi orang muda, sebuah zine, ‘Bukan Hasutan Syaitan’ di mana suara anak muda bernama Naim Fahmi, saya petik namanya di sini. Beliau meluahkan hakikat kehidupan hari ini. Kita sanggup membiarkan diri kita hanyut dan berfikir dalam konteks yang serupa. Tidak pernah cuba berfikir di luar kotak pemikiran sedia ada.


Untuk mendapatkan buku ini 
boleh terus hubungi penulisnya. Naim Fahmi 
011-274 956 00

Apa yang disampaikan pemuda ini ada kebenarannya kerana ia lahir dari suara hati sehingga membentuk sebuah zine yang sedang bercerita kepada kita tentang ‘kuasa’ yang sedang membekukan otak kita dari memikirkan hal yang menjadi hak sepatutnya. Untuk saya kupas memang tidak berkesempatan, namun awak boleh berfikir secara rasional bahkan dapat membuka minda kita untuk meneroka satu ‘keajaiban’ teknologi yang sudah lama diserang ‘virus’ perosak kerana rakusnya kita membela diri sendiri tanpa bersatu ‘hati’ dengan nilai sejagat. Awak patut memiliki zine beliau. 

Cuba kita renungkan hal yang berlaku hari ini? Apa yang awak rasakan? Lebih segar? Atau mulut seringkali merungut? Apa sahaja boleh memberikan penekanan iaitu soal wang. Hari-hari orang memikirkan tentang itu. Ada orang akan mengambil kesempatan maka timbul pelbagai perniagaan termasukkan syarikat peminjaman wang yang tumbuh bak cendawan selepas hujan (saya akan ceritakan pada bab yang akan datang). Di bandar kita, memang perniagaan menjadi tunggak, maka lot-lot kedai dibangunkan, untuk siapa sebenarnya? Untuk mereka yang mampu. Jadi, adakah kita ni merupakan golongan yang berkemampuan? Saya tinggalkan anda pertanyaan itu. 

Baiklah, kita melangkah sudut yang lain pula. Apa yang ingin anda lakukan esok? Saban hari kita hanya membiarkan rutin adalah asas kehidupan. Rutin kita adalah hanya membuka mata tanpa membuka hati untuk menilai hari yang bakal dilalui. Adakah akan menjadi lebih baik? Kita sering melakukannya sahaja dan membiarkan waktu membaluti ‘pekerjaan’ yang sering dinodai dengan ‘respon’ negatif. Pasti kita tertanya-tanya, “Sampai bila?” dan jawapannya sungguh mudah, “Sampai mati.” 

Mahu ke kita melarat, mahu ke kita merana dan terpaksa berkerja keras sedangkan mereka yang bertanggungjawab ke atas amanah kita sedang menghalakan ‘anak panah’ ke jantung kita? Kita disarankan melakukan dua kerja dalam satu masa. Kita juga dididik dengan hanya ‘patuh’ dan ‘taat’ pada peraturan dan perintah yang menjadi kebiasaan sejak dari zaman penjajah lagi. Pertanyaan timbul lagi, “Sampai bila?” dan kali ini nada jawapannya bertambah garang, “Sampai mati!” 

Bila sebut pasal mati, siapa akan uruskan, mana peruntukkan? Nak hidup dah susah, nak mati pun lagi susah. Maka berderat-deretlah warga kita menghempas keringat untuk wang. Dan wang itu akhirnya akan ke mana? Ke poket mereka yang sudah lebih dari cukup. Keperitan itu kita yang merasainya dan kita terus dilalaikan dengan cara halus yakni ‘hadiah’. Minda kita disogok dengan ‘janji’ lalu kita memperhambakan diri untuk mendukung mereka-mereka yang zalim. Saya bercakap bukan sebagai seorang penentang tetapi berbicara sebagai seorang yang berhak untuk hidup tanpa dibelasah keringat melampau. 

Kita masih boleh waraskan pemikiran kita dan bukannya minda kita diselaraskan untuk suatu tempoh yang ditetapkan, lantas masih boleh dibeli dengan ‘helah’ serta modus operandi yang serupa. Kalau kita teguh berpendirian dan tidak mudah goyang menyuarakan hak, sudah tentu kita tidak akan membiarkan diri menjadi ‘boneka’. Sehingga ke hari ini, kita masih gerun dengan undang-undang ciptaan impralisme yang menakluki pemerintahan. Itulah undang-undang yang digunakan pakai dan digubal untuk menyembunyikan ‘kebenaran’ dan memalsukan hakikat kejadian. 

Kalau dulu kita dimomokan dengan hukuman, hari ini tidak lagi. Kita sendiri takut pada bayang-bayang yang datang menjerut leher tanpa kita besedia untuk bertindak. Memang tak sempat langsung kerana ia ada dekat dengan kita ketika keadaan bercahaya. Dalam terang pun kita tersesat. Itulah namanya ‘ledakan’ informasi yang kadangkala datang dalam bentuk yang berbeza dan meragukan. 

Apakah asas pembangunan kita pada hari ini? Sebetulnya sturukturnya dibina dari ‘kealpaan’ kita dan tiang-tiangnya pula ditegakkan menggunakan arca yang sama, iaitu sifat ‘tamak’ serta acuan yang serupa, ‘dengki’ manakala dinding-dindingnya ditampal dengan ‘janji’ di mana kita akan mendapat pulangan. Seandainya Dungun seperti dahulu, kita akan berkata, jamudnya cara hidup kita. Sedangkan kita dibidas dengan hebatnya di saat minda sedang tidur. 

Sekian dulu untuk hayunan jemari menceritakan prihal kemajuan di tempat kita. Ia bukan satu fenomena baru tetapi ia pendekatan sedia ada. Di mana sahaja tempat yang membangun pasti ada insan yang mengalami ‘culture shock’ gara-gara perubahan kritikal tanpa moral. - ADIT ZULFAN

 photo iklan atomy_zpsx6liadcn.gif
Kongsi Artikel Ini :
Comments
0 Comments

Post a Comment

 
Copyright © 2014. Suara Dungun: Masih waraskah kita?
Designed By Suara Dungun