4 Jun 2016

Utama » » Bangunan Muzium Daerah Dungun Bakal Dirobohkan

Bangunan Muzium Daerah Dungun Bakal Dirobohkan

alt/text gambar alt/text gambar alt/text gambar PENAJA


DUNGUN: Bangunan Muzium Daerah Dungun merupakan rumah berciri kolonial ini dibina pada tahun 1941. Asalnya merupakan kediaman Pegawai Daerah Dungun. Bangunan ini pernah menjadi rumah persinggahan Penolong Penasihat British yang berkunjung ke Dungun. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, rumah ini telah dijadikan Pejabat Kempetai (Polis Jepun yang menjalankan tugas-tugas perisikan). Bangunan ini juga pernah menjadi pejabat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum terbiar seketika dan dibaikpulih kembali lalu dijadikan Muzium Daerah Dungun. Muzium Daerah Dungun telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Haji Zaabar Dato’ Haji Mohd Adib, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 21 Ogos 2008.

Perkembangan terbaru bangunan bersejarah berusia 75 tahun ini bakal dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Dungun yang berkuasa terhadap bangunan warisan ini dengan alasan bangunan ini sudah uzur dan orang ramai tidak berminat untuk ke sini. Seandainya dirobohkan akan lenyaplah sebuah lagi bangunan bersejarah yang menjadi saksi terhadap perubahan tamadun di daerah Dungun yang pernah melalui liku-liku di mercu zaman kegemilangnya suatu masa dahulu sebagai daerah pengeluaran bijih besi terbesar di Asia Tenggara lalu menobatkan Pelabuhan Dungun sebagai pelabuhan ketiga terpenting di Tanah Melayu sekitar tahun 1950-an.

Seandainya bangunan ini kelihatan uzur, usaha pembaikian dan pemuliharaaan boleh dilakukan. Begitu juga sekiranya di dapati kurang pengunjung, promosi berterusan perlu dilakukan dengan berbagai aktiviti di samping meletakkan papan tanda di tempat-tempat strategik seperti jalan utama dan lebuh raya sebagaimana yang dilaksanakan oleh negeri lain sebagai panduan kepada pelawat dan pelancong yang berkunjung ke daerah ini. Pada masa yang sama pembinaan lansdkap dan pagar wajar dibina untuk memastikan sekitar bangunan bersejarah ini kelihatan ceria untuk mengundang kehadiran orang ramai.

Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun merasa kesal terhadap tindakan yang bakal diambil oleh pihak terbabit yang lebih mementingkan keuntungan material dan pembangunan moden di saat negeri dan negara lain bersungguh-sungguh mengambil tindakan bijak memulihara warisan lama untuk ditonjolkan sebagai lambang keagungan sejarah lalu dan lokasi pelancongan. (Sumber : RSD)

 photo iklan atomy_zpsx6liadcn.gif
Kongsi Artikel Ini :
Comments
0 Comments

Post a Comment