13 Jun 2016

Utama » » Kisah Kampung Padang Jambu Dungun

Kisah Kampung Padang Jambu Dungun

alt/text gambar alt/text gambar alt/text gambar PENAJA



KAMPUNG PADANG JAMBU mula dibuka dalam tahun 1920-an oleh penduduk tempatan. Kampung ini mendapat nama berikutan terdapat begitu banyak pokok jambu golok (gajus) yang tumbuh meliar di atas kawasan padang yang luas. Padang itu dipenuhi dengan belukar tebal, pokok gajus serta pokok kemunting. Keadaan tanah yang berpasir amat sesuai untuk pokok gajus hidup membiak di sini.

Penduduk yang menerokai kawasan ini telah menebang sebahagian besar pokok gajus untuk dijadikan penempatan mereka. Awalnya hanya beberapa keluarga sahaja yang menetap di sini dengan mencari rezeki seperti mengumpul hasil-hasil hutan seperti buah-buahan, rotan, madu, damar dan lain-lain yang diperolehi di sekitar hutan kawasan berkenaan. Kampung yang terletak berhampiran Sungai Dungun juga membolehkan penduduk di sini mendapatkan sumber ikan dengan mudah sama ada ikan air masin atau ikan-ikan darat yang diperolehi di kawasan berpaya atau di anak sungai. 

Ketika berlakunya peristiwa Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948, daerah Dungun turut terkena tempias keganasan apabila pihak komunis menyerang dan membakar stesen kereta api di Kampung Che Lijah serta menembak koc-koc kereta api. Oleh itu untuk keselamatan pihak kerajaan telah memindahkan penduduk Kampung Tanjung Pagar yang dikatakan terdapatnya markas komunis di situ ke penempatan baharu iaitu di Kampung Padang Jambu. 

Selaras pertambahan penduduk, hampir 95% pokok-pokok gajus dan belukar yang tumbuh meliar di situ ditebang untuk dijadikan tempat kediaman. Hari ini kawasan berkenaan dijadikan padang bola untuk kegunaan penduduk kampung beriadah.

Taburan jumlah penduduk di perkampungan ini terus bertambah dengan mendadak sebaik sahaja berlakunya aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang diambil alih oleh syarikat British daripada Jepun pada tahun 1948. 

Dengan adanya jalan kereta api yang menghubungkan Bukit Besi ke Sura Jeti melalui berhampiran kampung ini (Kampung Nibong) menyebabkan pekerja-pekerja lombong bijih membina rumah kediaman masing-masing tidak jauh dari jalan kereta api. Ini untuk memudahkan mereka berulang-alik menaiki kereta api ke tempat kerja di Bukit Besi. Secara tidak langsung Kampung Padang Jambu mula membangun dan berkembang maju dengan tersedia berbagai kemudahan seperti sekolah, kedai, panggung wayang, masjid, padang bola dan lain-lain. 

Penutupan sektor perlombongan bijih besi di Bukit Besi telah memberi kesan ekonomi dan sosial kepada penduduk di sini yang sebahagian besarnya bekerja di lombong Bukit Besi. Ramai di kalangan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain seperti bertani atau nelayan serta berpindah ke tempat baru untuk meneruskan kehidupan. 

Pada tahun 1980 pihak kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Dungun telah menyusun atur kembali pelan struktur di Kampung Padang Jambu yang berkeluasan 79 hektar persegi bagi membolehkan ianya wujud dengan tersusun seperti sekarang. - RSD

 photo iklan atomy_zpsx6liadcn.gif
Kongsi Artikel Ini :
Comments
0 Comments

Post a Comment