6 Mar 2019

Utama » » SEJARAH AWAL DUNGUN

SEJARAH AWAL DUNGUN

alt/text gambar alt/text gambar alt/text gambar PENAJA

Oleh : Wan Mohd Rosli Wan Ngah

Daerah Dungun merupakan sebuah daerah di dalam negeri Terengganu terletak di bahagian tengah selatan. Berkeluasan kira-kira 1,018.4 batu persegi bersempadan dengan daerah Kemaman di bahagian selatan dan dibahagian utara pula bersempadan dengan daerah Marang. Sementara itu Kuala Dungun merupakan bandar terpenting menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan hampir semua jabatan kerajaan.

Dungun mendapat nama menerusi pokok Dungun iaitu sejenis pokok yang tumbuh di kawasan paya air tawar serta dipercayai dibuka oleh mereka yang datang dari Pagar Ruyung, Sumatera berdasarkan kepada 2 faktor utama :-

i) Kebanyakkan orang Dungun pada suatu masa dahulu berasal dari kepulauan Indonesia yang berhijrah ke sini.

ii) Nama-nama kampung di Dungun terdapat juga di Indonesia seperti Kampung Binjai, Kampung Bemban, Kampung Gombang, Kampung Lentang, Kampung Raja Wali, Kampung Serdang dan sebagainya.

Kuala Dungun tahun 1950-an
 Sejarah awal di daerah ini menunjukkan aktiviti manusia telah bermula sejak zaman pra sejarah iaitu zaman neolitik (2500 hingga 800 Sebelum Masihi) berikutan penemuan gelang batu di Sungai Kerai, Dungun.

Sementara itu sebuah catatan Cina, Han Shu yang dikarang Bangsu ada menyebut pada zaman Dinasti Han Barat, Duta Han telah diarah berlayar ke Wong Zhi (India) dan pelayarannya bermula dari Pelabuhan Hup-Pu di Semenanjung Luizhou di Negeri Kanton, China. Mereka belayar ke selatan dan mengambil masa selama 5 bulan untuk sampai ke sebuah negara bernama Du-Yuan. Selepas pelayaran Duta Han, beberapa buah buku lain juga ada mencatat mengenainya dengan ejaan hampir sama dengan nama ini seperti Du-Kun, Kua-Du-Kun dan Kua-Du-Kan. Ahli sejarah tempatan Prof. Kho Yunqiao berpendapat “Kua-Du-Kun” itu adalah Kuala Dungun iaitu sebuah pelabuhan kecil yang muncul di Nusantara pada abad ke-3.

Rangka manusia di zaman neolitik yang memakai gelang batu dijumpai di Sungai Kerai, Hulu Dungun
Awal abad ke-12 pula aktiviti perniagaan di Dungun begitu aktif berdasarkan kepada penemuan duit China di Kampung Chermai, Hulu Dungun. Manakala pada abad ke-14, Dungun dibawah naungan Kerajaan Swarnabhumi sebelum berada di bawah takluk Kerajaan Majapahit berikutan kejatuhan kerajaan Swarmahhumi sekitar pertengahan abad ke-14.

Pekan Sura Gate sekitar 1930-an
Ini diperkukuhkan lagi berdasarkan syair Jawa bertajuk Negarakretagama yang dikarang oleh Prapanca dalam tahun 1365 mengatakan “Ketika ini (1365) Terengganu, Paka dan Dungun telah berada di bawah taklukan Majapahit”. Manakala menurut Mubin Sheppard dalam Jounnel Malaya Branch Asiatic Society Part 3 menyatakan pada pertengahan abad ke-14 Masihi, Dungun telah pun wujud bersama-sama Terengganu menjadi jajahan takluk kepada kerajaan Majapahit dengan ayat berbunyi:-

“This list, which was prepared in 1365 in the Negarakretagama includes not only Terengganu but also Paka and Dungun, two rivers in the South of State which in modern times can boast nothing larger than fishing village”

Dungun dianggap sebagai kawasan subur dan makmur serta mudah untuk mencari rezeki sama ada di sebelah pantai, darat atau pun hulu. Ini berkait rapat dengan keadaan semulajadi bentuk muka bumi, kesuburan, kesesuaian tanah dan iklim di daerah ini. Berikutan itu Dungun juga menjadi antara lokasi pemimpin-pemimpin dari Indonesia berhirah ke sini.

Pemandangan Kuala Dungun dari udara sekitar tahun 1960-an
Ini dibuktikan pada tahun 1603, seorang pemimpin yang bernama Datuk Nakhoda (Sultan Kari) berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera telah berundur ke Dungun setelah gagal dalam pertempuran menentang Belanda lalu membuka Kampung Bemban. Begitu juga sekitar tahun 1784, Sultan Yahya Abdul Jalil Shah dari Siak berlayar jauh ke Dungun setelah takhta kesultanan Siak Inderapura dirampas oleh Raja Alam. Baginda mangkat dan disemadikan di Kampung Binjai. Sementara itu sekitar tahun 1900 pula, seorang pahlawan dari Sabah digelar Pak Sabah oleh penduduk tempatan bersama ahli keluarga dan para pengikutnya turut berundur ke Dungun setelah diburu oleh penjajah British lalu membuka sebuah perkampungan dinamakan Kampung Pak Sabah.

Sekitar tahun 1808, kedudukan Kuala Dungun meliputi 4 buah kampung iaitu :-

1. Kampung Hujung Tanjung di hadapan LKIM sekarang kini menjadi laut. Dahulunya kawasan ini sangat luas di mana boleh menjemur pukat, tempat permainan dan sebagainya. 
2. Kampung Tengah iaitu di tapak Sekolah China dan Kelab China sekarang. Dahulunya merupakan sebuah perkampungan Melayu.
3. Kampung Balik Darat iaitu tapak Pejabat Daerah lama dan sekitarnya juga merupakan perkampungan Melayu.
4. Kampung Ulu iaitu Sungai Penaga merupakan perkampungan yang didiami ramai oleh golongan bangsawan dan ternama.

Apa pun sejarah bermulanya pemerintahan beraja di Dungun agak kabur. Tetapi dalam tahun 1839 Tengku Hitam, keturunan pemerintah Dungun telah membantu Sultan Muhammad II, menyerang Baginda Umar, Sultan Terengganu ke-9 tetapi gagal. Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), daerah Dungun telah diserahkan kuasa berkaitan hasil masyhul kepada Tengku Bukit, nenda saudara baginda.

Campur tangan British pada tahun 1921 dalam pentadbiran negeri Terengganu setelah perjanjian 1941 membawa kepada kemasukan seorang Penasihat British yang bertindak sebagai penasihat dalam semua perkara yang berkaitan pentadbiran kecuali hal-hal keagamaan dan adat resam Melayu. Mereka telah membahagikan negeri Terengganu kepada beberapa jajahan yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Jajahan. Jajahan tersebut ialah Jajahan Barat (Besut dan Setiu), Jajahan Timur (Dungun, Paka, Kerteh, Kemasek dan Kemaman) serta Jajahan Tengah (Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang).

Dalam tahun 1933 Pegawai Daerah Dungun menyusun kembali bandar Dungun lalu mewujudkan balai polis, pejabat daerah dan padang bola. Penduduk di Kuala Dungun yang menetap di tepi muara Sungai Dungun dan di tepi pantai diarah berpindah ke perkampungan yang baru dibangunkan dipanggil Kampung Tanah Lot. Manakala jalan-jalan kampung ini dinamakan dengan nama panglima-panglima Dungun seperti Jalan Panglima, Jalan Tambun, Jalan Pak Dagang dan lain-lain. Pelan kawasan perumahan di Tanah Lot disusun atur manakala Kuala Dungun dijadikan kawasan bandar dan lot kedai. Detik itu orang luar terutamanya kaum Cina datang untuk menjalankan aktiviti perniagaan di sini.

Daerah ini menjadi semakin terkenal di mata dunia berikutan aktiviti perlombongan bijih besi sekitar tahun 1930 hingga 1971 yang melahirkan pembangunan sosio-ekonomi di daerah ini serta menyumbang 1/3 pendapatan kepada negeri Terengganu. Malah sektor ini pernah menjadi penyumbang utama kepada perkembangan perusahaan besi dan keluli di Jepun.

Hari ini Dungun terus terkenal sebagai daerah yang kaya dengan budaya, seni dan khazanah warisan serta terus mengorak langkah menuju arus pembangunan yang kian pesat selaras dengan peredaran semasa.

(Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Terengganu)

Kongsi Artikel Ini :
Comments
0 Comments

Post a Comment

 
Copyright © 2014. Suara Dungun: SEJARAH AWAL DUNGUN
Designed By Suara Dungun